Wednesday, December 1, 2010

YOU came just like a SUNNY,
always make my day EASY,
your SMILE like a DAISY,
a SPECIAL bond one cannot see,
you are MY Beauty,
I LOVE U like crazy,
I love that you are with ME,
and it ALWAYS will be.....











Monday, November 29, 2010

SEREDUP KASIHMU

Aku memeluk lutut dalam keadaan terketar-ketar menahan kesejukan. Hujan semakin lebat, guruh berdentuman dan kilat sambung- menyambung. Aku merapatkan lagi diriku kedinding yang sudah sedia tiada ruang lagi buatku. Aku  seperti ingin menembusi dinding itu dan berlindung didalamnya. Menarik selimut lusuhku supaya seluruh tubuhku yang separuh togel ini dapat merasa sedikit kehangatan dan melelapkan mata dengan tenang. Namun aku tahu itu semua hanyalah angan-angan yang tidak mungkin menjadi kenyataan bagiku pada malam ini. Tangan dan kakiku sudah terasa kebas dan mula membiru dek kesejukan. Kesejukan yang menggigit sehingga ketulang hitam mengatasi rasa sakit dan sengal-sengal tubuh remajaku. Deria rasaku semakin hilang. Nyamuk yang berlumba-lumba menghisap darahku juga tidakku hiraukan. Dengan tangan yang semakin membiru menggeletar dan luka yang masih bersisa, aku mengusap kesan-kesan lebam yang semakin membengkak. Dahiku berkerut-kerut menahan kesakitan. Ingin sekali aku merebahkan diri tidur baring seperti manusia yang normal, tapi luka dibahagian belakang tubuhku tidak mengizinkan. Ada kulitku yang terkoyak sehingga menampakkan isi. Perit dan sangat pedih rasanya hanya Allah yang tahu. Air mataku bergenang. Malam ini kurasakan begitu sayu sehingga peristiwa 15 tahun lalu kembali berlegar-legar  dibenakku.
“mak.. mak.. adik mak.. adik..!!!” aku menjerit-jerit memanggil ibuku didalam rumah. Dengan berkain batik dan berbaju-T lusuh ibu yang mendengar jeritanku berlari keluar rumah untuk mendapatkan adikku.
“Abang jangan buat Ani macam ni bang. Ini anak Ani!” ibuku telah menangis teresak-esak sambil cuba merampas adikku dari gendongan lelaki tadi yang kukenali sebagai Pak Long.
“Kau tak layak nak panggil diri kau sebagai mak. Dulu aku dah cakap dengan kau jangan kahwin dengan jantan tu kau tak nak dengar. Degil! Sekarang laki kau dah mampus, kau miskin, hidup melarat macam mana kau nak sara anak-anak kau ni? Hah!” Pak Long memarahi ibuku. Air mata ibu masih bercucuran walaupun dalam keadaan hujan lebat aku dapat melihat mata ibuku basah.
“Abang tak boleh buat Ani macam ni bang. Walauapapun yang terjadi dia tetap anak Ani. Ani akan besarkan dia. Ani yang akan didik dia.” Ibu cuba merampas bayi yang masih berbedung itu daripada pelukan Pak Long. Ternyata kudrat wanita tidak standing lelaki. Dengan kasar dia menolak ibuku hingga jatuh terduduk. Dengan susah payah ibu bangun kembali cuba melawan. Kali ini Pak Long benar-benar marah. Sekali lagi ibu ditolak sehingga terdorong ke belakang. Lantai halaman rumah yang licin akibat disimbahi hujan lebat menyebabkan ibu hilang kawalan. Sekali lagi ibu terjatuh. Namun kali ini ibu tidak cuba untuk bangkit kembali. Tangannya terkulai layu. Bau hanyir mula menyengat hidungku. Aku yang ketakutan berlari-lari anak mendapatkan ibu. Darah pekat mengalir deras. Sederas air hujan yang menghentam tubuh tidak bermaya ibuku. Tangan kecilku cuba menekap darah yang mengalir panas dari kepala ibu. Tiada apa yang boleh aku lakukan ketika itu. Apalah sangat yang mampu dilakukan oleh kanak-kanak yang berumur 5 tahun. Apa yang mampu dilakukan hanyalah menangis. Aku hanya mampu menangis sambil menggoncang tubuh ibuku dan memanggil “ mak..mak..mak..”
      *                      *                      *
Matahari pagi memancarkan sinar cahayanya yang curiah. Aku terjaga dalam keadaan kedua-dua tanganku masih memeluk lutut cuba menahan kesejukan yang menggigit. Walaupun hakikatnya perbuatan tersebut tidak berhasil mengusir kedinginan itu, namun sedikit sebanyak membantu aku menenteramkan jiwa yang kacau daripada cuaca buruk semalam. Aku cuba bangun perlahan-lahan dengan tangan yang bengkak dan calar-balar berpaut pada pada tiang-tiang kecil di halaman rumahku. Cuba mengatur langkah perlahan mencari keseimbangan agar tidak jatuh terjelopok. Aku menuju ke pili air di hujung halaman rumah untuk mencuci muka dan membasahkan tekak. Selesai menyirami kepala sehingga rambutku kuyup, tekakku pula dibasahi air berklorin itu tanpa dimasak atau ditapis. Tekakku terasa semakin perit. Tangganku yang luka juga terasa pedih menakung air. Namun itu semua tidak ku endahkan. Ku tadah lagi air yang mencurah keluar dari pili untuk diteguk rakus. Memang ini yang terpaksa ku harungi sepanjang hidupku selama 19 tahun. Alah bias tegar biasa. Aku pasrah.
“Sekarang baru kau nak bangun hah!” tegukan terakhir ku telan perlahan. Peritnya terasa seperti menelan pasir. Suara yang paling tidak ingin kudengar menyapa gegendang telingaku. Suara inilah yang membuatkan hari-hariku seperti berada didalam neraka dunia.
“Yang kau tercegat lagi kat situ kenapa? Sinilah bodoh!” lambat-lambat aku berjalan menghampiri bapa tiriku yang sentiasa menyesakkan. Aku bersedia menerima sebarang hentaman walaupun hakikatnya tubuhku meronta-ronta membantah.
“Argh..” aku mengerang kesakitan. Bapa tiriku tersengeh. “ Sakit? Ha.. taupun sakit.. yang kau tercegat lagi kat sini ingat aku tak sakit? Wei budak, aku tengok kau lagi buat aku sakit hati. Baik kau berambus pergi buat kerja kau sekarang. Kau ingat tinggal kat rumah ni free ke? Pergi cepat!” Aku tidak membantah. Malas aku nak bertekak, kalau tidak tubuhku yang akan mendapat habuan. Jika bukan aku, mungkin ibuku yang akan menjadi sasarannya. Aku tidak  mahu ibuku disakiti. Baju lusuh yang tergantung didinding store rumah kusarungkan ke tubuhku untuk melindungi kesan-kesan luka yang kebanyakannya masih belum sembuh. Kesakitan akibat dicucur dengan rokok sebentar tadi kutahan. Kuusap sedikit kulit perutku yang melecur. Pedihnya masih terasa. Malas mahu melayan ksakitan, bekas air yang kosong ku isi dengan air berklorin dari pili yang sama tempat aku meneguk air tadi. Cangkul dan parang kucapai dan basikal tua yang tersandar ditepi dinding kusorong hingga kejalan yang masih belum berturap sebelum kukayuh. Angin pagi yang menyapa lembut wajah dan tubuhku seolah-olah menerbangkan segala kesakitan yang ku alami. Sesampainya di kebun, basikal ku tupangkan dan aku memulakan kerja-kerja rutinku.
Matahari semakin terik menginjak-injak ubun-ubunku. Aku mencapai bekas air dan meneguk rakus isinya walaupun hanya air paip, aku puas kerana dahagaku dinyahkan. Baru sahaja punggung ingin kulabuhkan aku dikunjungi tetamu.
“Assalamualaikum.” “Waalaikumsalam” aku menyahut salam dan tangan kami berjabat. Pak Cik Zamri mempelawa aku untuk makan tengahari dirumahnya. Aku menolak sopan kerana segan. Namun setelah didesak kuturutkan jua. Inilah pertama kali aku menjejakkan kaki kedalam rumah yang tersergam indah ini. Jauh panggang dari api jika dibandingkan dengan rumahku. Tidak hairanlah mengapa bapa tiriku begitu membenci keluarga Pak Cik Zamri. Dia memang tidak suka melihat kebahagiaan orang lain. Sejak aku mengenali keluarga Pak Cik Zamri 2 bulan yang lalu hanya Atikah dan Azhan cahaya mata keluarga itu, tetapi hari ini ku lihat seorang gadis asing membantu Pn.Suhaila menghidangkan makanan.
“Kenapa Min? apa yang kau tenung tu?” Pak Cik Zamri menegurku yang asyik memerhatikan gadis tadi. Aku tertunduk malu mengenangkan kebodohan dan kelakuanku yang kurang sopan. Gadis itu mengingatkanku pada seseorang. Mungkin mereka sebaya. Itulah puteri sulung Pak Cik Zamri dan Pn.Suhaila. Atirah namanya dan masih menuntut di Sekolah Berasrama Penuh. Nasi yang kujamah tidak sebanyak yang aku sangkakan. Walaupun enak, aku tidak dapat merasai keenakan itu apabila terkenangkan ibuku di rumah. Adakah mak sudah makan? Hatiku tidak senang memikirkan itu. Selesai makan Pak Cik Zamri mengajakku solat berjemaah dengan keluarganya dan ini benar-benar menyesakkan benakku. Solat? Sudah berapa lama aku tidak mengerjakan solat adakah aku masih mampu menunaikannya?
“Tak apa Min kalau tak tahu kita belajar. Min ikut je pak cik ye hari ini. Petang nanti kita solat asar berjemaah lagi. Kalau rajin solat lama-lama pandailah. Jangan risau pak cik ada.” Lembut sahaja kata-kata Pak Cik Zamri menyapa telingaku. Mataku mulai basah terusik dengan kata-kata itu. Aku benar-benar merindui kasih sayang seorang insan yang bergelar ayah. Segera kusedekahkan al-Fatihah buat arwah ayah. 
                                          *                      *                      *
      Selama hampir tujuh bulan aku mengenali keluarga Pak Cik Zamri aku seolah-olah mendapat kehidupan baru. Aku terasa seperti aku mempunyai keluarga sebenar. Kini aku sudah pandai tegak solat sendiri. Itu cukup membuatkan hatiku tenang. Rasa bebas dari bebanan yang menyesakkan pundakku.
“Bagaimana Allah ingin mengingati kita kalau kita selalu lupa pada-Nya? Bagaimana kita mahu mencari rezeki yang diberkati jika kita lari dari-Nya? Sebab itulah hidup kita selalu rasa kekurangan dan tidak pernah cukup kerana dalam kehidupan kita itu tiada mardhotillah. Tiada redha Allah” aku terangguk-angguk mendengar penjelasan Pak Cik Zamri yang penuh pengertian.          
Selain daripada ilmu-ilmu fardhu ain, Pak Cik Zamri juga banyak membantuku dalam hal-hal kemahiran. Aku belajar kemahiran elektrik dan elektronik dan sedikit sebanyak cara-cara memperbaiki kereta. Kata Pak Cik Zamri jika aku rajin belajar mungkin aku boleh menyambung pengajian dimana-mana institusi yang sesuai. Cuaca yang tadinya terik mula bertukar mendung. Aku berkira-kira untuk pulang bimbang jika ibu di rumah terlupa mengangkat kain dijemuran.
“Nak balik ke Min?” “Ya Pak cik. Mak tinggal sorang kat rumah takut mak terlupa angkat baju pulak.” Pak Cik Zamri hanya mengangguk kecil. Aku sudah berkemas-kemas untuk pulang. Daun-daun pisang dan serai yang kukutip tadi kususun dan kuikat kemas di tempat penumpang basikal tuaku. Hasil kebun mesti dibawa pulang sebagai bukti aku bekerja. Walaupun aku melakukan perkara baik dengan menuntut ilmu tetapi perkara ini harus dirahsiakan dari pengetahuan ibu dan bapa tiri ku. Mereka tidak suka.
“Sebelum balik minum dulu Abang Min.” Atirah keluar menatang dulang yang terisi sejag air sirap dan dua buah gelas. Aku langsung tidak menolak. Laju air sirap itu kuteguk. Sesekali mata ku melirik memandang kearah Atirah yang sudah melangkah masuk kerumah. Aku tersenyum sendiri. Entah mengapa ku rasa hatiku seperti sudah terisi.
“Tersenyum lebar kau petang ni kenapa? Kau bercita-cita nak jadi orang baik pulak ke? Dah tak sabar-sabar nak jadi ahli surau? Ke kau dah tak sabar- sabar nak jadi anak orang kaya?” terguran ibuku sedikit sebanyak mengguris hatiku. Namun aku cuba membuang aura negatif dari benakku dan mengisinya semula dengan perkara-perkara positif. Mungkin ibuku terasa hati kerana aku tidak banyak meluangkan masa bersamanya. Walaupun hakikatnya ibu yang tidak pernah lekat di rumah. Aku juga tidak tahu kemana ibu dan bapa tiriku keluar hampir setiap malam dan meninggalkan anak kecil mereka dibawah jagaanku. “ tak ada apa mak. Hari ni kerja siap awal. Mak nak kemana ni? Hari dah nak maghrib ni.” Aku sengaja bertanya namun tidak semena-mena satu tamparan kuat hinggap dipipi kiriku. “Kau tak payah nak berlagak alim aku tahu jaga bini aku.” Aku hanya memandang sayu langkah ibuku dengan muka yang mula memerah. Tetapi satu hikmah yang kupandang disebalik semua ini aku dapat bermalam didalam rumah. Tidak perlulah aku bermalam dengan berlantaikan tanah, berbantalkan lengan dan berselimutkan angin. Aku bersyukur Ya Allah.
*                *                      *
      “Apa semua ni hah? Kau nak belajar pulak? Kalau dah bodoh tu buat apa pun tak menjadi. Sekarang kau nak menyusahkan aku dengan laki aku pulak?” surat tawaran melanjutkan pelajaran ke Institut Yayasan Selangor berada di tangan ibuku.
“Mak, Shamim bukan nak menyusahkan mak. Shamim cuma nak sambung belajar je untuk kesenangan kita mak. Nanti mak boleh hidup dengan Min dan kita tak payah bergantung pada orang lain lagi mak.” Aku cuba memujuk ibuku. Ternyata pujukanku salah. Mata ibuku telah merah menahan kemarahan yang membuak-buak.
“Oooo kau nak hidup sendiri ya. Kau dengar sini Shamim. Kau tu yang menumpang kesenangan aku dengan laki aku. Bapak kau dulu apa ada? Mati tak tinggalkan harta tapi tinggalkan anak yang tak guna macam kau ni. Sepatutnya dulu kau pun berambus ikut si Badrol tu.” terkedu aku mendengar tomahan ibuku. Mana mungkin seorang ibu mengeji anak sendiri? Apa salahku? Apa salah arwah ayahku? Dunia tiba-tiba terasa kelam. Aku bertahan hidup didunia ini semata-mata kerana ibu. Tapi kenyataannya ibu membenciku kerana hanya aku dan kemiskinan yang diwariskan oleh arwah ayah kepada ibu. Bukan harta.
“Sekarang kau berambus dari rumah aku. Kau pun dah besar boleh hidup sendiri. Nah ambil kertas tak guna kau ni. berambus” surat tawaranku yang tadinya sehelai kertas kini bercerai menjadi empat. Aku semakin hiba. Kugalas sebuah beg lusuh melangkah keluar dari rumah yang banyak meninggalkan kesan hitam dalam hatiku. Kaki ku melangkah maju kedepan namun mata ku masih mengerling kearah ibu. ‘Walauapapun yang terjadi Shamim sayangkan emak.’ Aku bermonolog sendiri. Air mata ku kesat dan mula mengatur langkah laju. InsyaAllah kejayaan pasti milikku.
*                *                      *
Lama aku menatap gambar ibu. Dua minggu lepas aku ada pulang kerumah namun sambutan ibu terhadapku sama. Masih dingin. Aku tahu memang ibu membenciku sama seperti ibu membenci arwah ayah semasa hayatnya. Ibu meninggalkan keluarga dan kekasihnya demi mengahwini ayah. Tetapi Allah itu maha adil. Ayah jatuh bankrupt dan meninggal dunia tidak lama selepas itu. Semenjak hari itu kelakuan ibu berubah dan mula mencari kekasih lamanya yang kini menjadi bapa tiriku.
Dalam keserabutan memikirkan masalah kewangan yang tidak pernah selesai, aku menerima panggilan telefon dari Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Rupanya hanya aku yang dinamakan sebagai pewaris untuk menerima wang simpanan hasil penat-lelah arwah ayah sebanyak RM 50,000 dengan syarat umurku mencapai 21 tahun. Walaubagaimanapun hanya separuh dari jumlah itu yang kupindahkan ke dalam akaun bankku. Selebihnya kubiarkan dahulu untuk diuruskan oleh pihak KWSP. Wang yang kupindahkan itu semata-mata untuk menampung perbelanjaan pengajianku dan melangsaikan segala hutang pengajian.
Dua hari selepas aku mengemaskini akaun bank untuk melangsaikan segala hutang pengajian, aku menerima panggilan telefon daripada ibu. Ibu memintaku untuk segera pulang kerumah. Langsung tidak terlintas difikiranku bahawa ibu mempunyai niat lain disebalik panggilan itu. Aku bersegera pulang kerumah. Kali ini layanan ibu dan bapa tiriku berbeza sekali daripada biasa. Aku rasa terharu dengan layanan baik mereka. Mungkin selepas aku menjadi seorang yang terpelajar kehadiranku dalam keluarga ini mula dihargai.
Rayuan ibu membuatkanku lemah. Aku seolah-olah diluah mati emak, ditelan mati bapak. Setelah berkira-kira akan baik dan buruknya, ku turutkan jua kemahuan ibu. Semua wang simpanan dibank kukeluarkan. Kata ibu ayah tiriku sering sakit-sakit dan ibu tidak mampu menanggung perbelanjaan perubatan. Aku tidak mahu ibuku susah. Ibu juga tidak kuat untuk bekerja keras. Bagiku wang boleh dicari tapi ibu tiada pengganti.
Ku sangkakan panas berpanjangan rupanya gerimis ditengahari. Kehidupanku selepas dua minggu dirumah diwarnai dengan makian dan herdikan yang kononnya aku berlagak diatas wang hasil titik peluh arwah ayah. “Sikitpun Min tak ada niat nak sakitkan hati mak. Cuma Min rasa tak perlulah nak beli kereta mahal-mahal. Kita tak mampu mak.” Aku bersuara memprotes. “Bapak kau tu tahula apa yang dibuatnya. Untuk kesenangan aku jugak. Kau apa tahu? Hidup asyik nak berlagak je. Tak pernah kau fikir aku ni. Kau ikut sangat cakap si Zamri tu pergi belajar konon.” Aku tidak membidas kata-kata ibu. Kubiarkan ibu dengan emosinya. Aku mengharapkan senyuman terukir dibibir ibu buatku namun seperti yang aku jangkakan aku diusir keluar sehelai sepinggang.
*                *                      *
“Hai ape yang kau termenung tu ingat buah hati ke? Dah jom bos nak jumpa” Anuar menepuk bahuku. Aku bangkit dan mengekorinya ke bilik En. Fuad. Semenjak aku menamatkan pelajaranku setahun yang lepas, Alhamdulillah aku kini diterima kerja disebuah syarikat kecil yang menjalankan perniagaan menjual dan membaiki barangan elektrik. Semuanya berkat pertolongan Pak Cik Zamri kerana En.Fuad merupakan sahabatnya sewaktu kolej dan aku direkomenkan oleh Pak Cik Zamri untuk bekerja disini sebagai juruteknik. Buah hati? Mungkin dia tidak diciptakan untukku. Atirah menganggapku tidak lebih daripada seorang abang dan aku menghormati perasaan itu malah aku sendiri patut memperkemaskan perasaanku antara kasih seorang adik dan kekasih. Aku harus bersyukur dengan apa yang aku miliki kini.
Telefon berdering minta diangkat. Suara seorang gadis dihujung talian membuatkan bibirku spontan mengukir senyuman tanpa perlu dipaksa. Suara Atirah menyapa telingaku. Selepas seketika senyuman dibibirku pudar diganti dengan sebutan nama Allah. Ibuku kecelakaan. Aku bergegas ke Hospital Besar Tengku Ampuan Rahimah Klang tempat dimana ibuku sedang dirawat. Kemalangan ini telah mengorbankan adik serta bapa tiriku dan mengakibatkan ibu terlantar dihospital tidak sedarkan diri. Keadaan ibu yang semakin serius memaksa aku untuk membawa pulang saudara kandungku. Mereka perlu bertemu sebelum segalanya terlewat.
Aku ke Johor Bharu. Kedatanganku yang agak mengejut kali ini tetap juga disambut baik oleh Pak Long. Sebelum ini sudah beberapa kali aku kemari untuk melawat Waheeda. Dulu kemunculan Atirah pernah mengingatkan aku pada Waheeda. Mereka sebaya dan kerana itulah aku bertekad mencari Waheeda darah dagingku yang terpisah. Memang beruntung Waheeda dibesarkan oleh Pak Long. Hidupnya lengkap dan cukup selesa. Tetapi tidak semua kesenangan itu menjanjikan kebaikan. Mungkin kerana kehidupannya sudah terlalu senang, Waheeda langsung tidak mahu mengikutku pulang menjenguk ibu yang terlantar sakit. Mungkin bagi dirinya ibu bukanlah sesiapa. Aku tidak berputus asa kucuba juga nasibku berhari-hari sehinggalah akhirnya dia bersetuju menjenguk ibu. Itupun hanya sehari. Aku tidak membantah. Persetujuannya sahaja sudah cukup membuatkan aku berpuas hati.
Ibu memerlukan buah pinggang yang baru kerana kedua-dua buah pinggangnya rosak akibat kemalangan jalanraya yang meragut nyawa adik dan bapa tiriku. Sebelum kecelakaan ini, memang ibu sudah mengalami masalah kerosakan buah pinggang Cuma belum diperingkat yang serius. Tetapi kini keadaan ibu kritikal “ibu awak memang memerlukan buah pinggang baru secepat mungkin. Tapi malangnya pihak hospital tak dapat lagi mencari penderma yang sesuai selalunya ahli keluarga yang sama jantina merupakan penderma terbaik.” Semua mata tertumpu kearah Waheeda.
*                *                      *
      Ibu sudah mampu melakukan aktiviti hariannya seperti biasa. Sakit ibu sudah beransur-ansur pulih. Sejak kejadian di hospital tempoh hari, hubungan diantara ibu dan Waheeda juga berkembang positif. Aku terasa seperti dilahirkan semula dalam suasana baru dan memiliki keluarga yang baru. Hari-hari yang kulalaui kini lebih baik dengan kasih-sayang ibu yang ku dambakan selama ini dan kehadiran Waheeda yang menceriakan lagi suasana. Tanggapan ibu terhadap keluarga Pak Cik Zamri juga telah berubah. Ibu malu atas perbuatannya dulu yang berperasangka buruk terhadap keluarga Pak Cik Zamri. Kini aku bukan mempunyai sebuah keluarga, tetapi dua keluarga yang bahgia dan saling menyokong. Aku benar-benar bersyukur kehadratmu Ya Allah.
      3 tahun yang kulalui penuh kebahagiaan mula dijentik dengan sedikit ujian daripada Illahi. Setiap insan pasti tahu bahawa segala ciptaan Allah itu ada sebab dan hikmahnya. Malah setiap ciptaan itu berkaitan dan saling memerlukan antara satu sama lain. Sepasang mata untuk melihat. Jika rosak sebelah mata maka separuh cacat penglihatan. Sepasang kaki untuk berjalan, tanpa sebelahnya maka tempanglah langkah. Sama seperti Hawa yang diciptakan dari tulang rusuk Adam agar mereka saling lengkap melengkapi. Dari atas kebawah, dari luar kedalam setiap pelengkap itu tiada gantinya didunia ini kerana ciptaan Allah itu sungguh istimewa. Kini aku menanggung kesengsaraan dan keperitan hidup kerana memang lumrah kehidupan yang diciptakan berpasangan itu akan goyah tanpa pasangannya.
“Awak tak akan boleh bertahan lama dengan hanya sebelah buah pinggang. Keadaan awak semakin kritikal Shamim. Ini semua adalah kesan jangka panjang yang terpaksa awak hadapi akibat daripada penderaan teruk yang awak lalui dulu.”
“Apa kaitannya penderaan saya dengan buah pinggang doktor?” aku bertanya bodoh. Doktor Eric hanya tersenyum. “kerja berat yang awak lakukan tak sepadan dengan umur awak sewaktu kecil, makan yang tidak teratur, tak dapat rehat yang cukup. Semua tu memaksa buah pinggang awak bekerja keras. Dalam keadaan sekarang sebelah buah pnggang lebih menyukarkan.” Aku terangguk-angguk mendengar penjelasan daripada doctor Erik. Tanpa sebarang reaksi yang terpamer diwajahku aku bangkit dan melangkah keluar bilik. Pintu dibelakangku tertutup rapat.
*                *                      *
            Usai solat Isyak berjemaah lama aku berteleku diatas sejadah. Berdoa memohon keampunan dan rahmat Allah. Tuhan yang maha pemurah lagi maha penyayang. Allah, tuhan yang member rezeki, yang menghidupkan dan yang mematikan. Hidupku kini diambang maut. Sudah bersediakah aku bertemu denganNya? Sudah beratkah amal solehku? Jika aku masih belum bersedia, mampukah aku melewati masa agar dipanjangkan umurku? Jika tidak adakah individu lain yang harus ku persalahkan atas kemudaratan yang menimpa diriku? TIDAK… aku langsung tidak berhak mempersoalkan perkara-perkara ini. Setiap manusia dimuka bumi ini sudahpun dijatuhkan hukuman mati. Persoalannya cuma Bila? Dimana? Bagaimana? dan Mengapa? Jika ini takdirku aku harus pasrah dan redha atas suratanNya. Seketika waktu yang dipinjamkan untuk aku bernafas dibumi ini sudah lebih dari cukup. Sedikit kudrat yang diehsankan untukku berbakti buat ibu yang telah mengandungkanku sembilan bulan sepuluh hari, lebih bermakna dari segunung harta. Ibu adalah anugerah yang tidak ternilai. Biar siapapun ibu, biar apapun yang telah dilakukannya, aku sebagai anak tiada hak untuk menderhaka. Hanya menegur jika tersalah bukan melawan meninggikan suara. Ibu mana yang tidak sayangkan anak? Jika ada perkara-perkara yang mengecilkan hati itu biasa. Manusia tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan dan kekhilafan. Maafkanlah…
            Aku berpaling menghadap ibu. Kucapai tangan tua ibu yang semakin berkedut. Wajahnya yang cantik sudah mula dimamah usia. Kukucup tangan ibu lama. Kukucup dahi ibu sehingga puas. Ku renung wajah ibu seolah-olah kami tidak akan bertemu lagi. Aku mahu mengingati wajah itu sehingga akhir hayatku. Aku menukar posisi tubuhku dengan berbaring diatas peha ibu. Tangannya yang hangat membelai ubun-ubunku lembut. Aku selesa hingga hampir terlena. Perlahan-lahan mata cuba ku buka untuk menatap wajah ibu sekali lagi namun aku tidak berdaya. Seluruh tubuhku mula dicengkam kesakitan yang maha hebat. Aku bergelut dalam kesakitan yang mula menular kedalam tubuhku sehingga aku letih untuk berlawan. Aku bersaksi tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Dadaku yang tadinya turun naik kini diam membatu. Aku kaku. Keadaan senyap dan sunyi. Angin juga seolah-olah tidak bertiup. Hanya air mata ibu yang mengalir deras membasahi wajah pucatku. Ingin sekali kukesat air mata ibu tetapi aku tidak mampu. Aku kini tidak lebih dari sekujur tubuh yang bakal diselimuti kain putih. Sesungguhnya seruan Illahi telah ku sahut. Dari Allah aku datang dan kepadaNya aku kembali. Al-Fatihah…

“Anak adalah anugerah Allah yang harus dijaga dan dibajai dengan penuh kasih sayang. Ia tercipta hasil dari penyatuan kasih sayang yang suci dan jangan sesekali menodai kesucian itu dengan rasa jijik dan benci semata-mata terpanah dengan dunia yang fana.”

Wednesday, November 24, 2010

AKU adalah Aku

Aku adalah aku kerana aku bukan kamu,
Aku adalah aku kerana aku tak mungkin dia,
Aku tetap aku bila ditarik kamu,
Aku tetap aku bila ditolak dia,
Aku masih aku tanpa kamu,
Aku masih aku tanpa dia,
Aku akan tetap aku tanpa kamu,
Aku akan tetap aku tanpa dia,
Tetapi aku tak mungkin sebaik hari ini tanpa kamu dan dia,
Tetapi aku tak mungkin seteguh hari ini tanpa kamu dan dia,
Kerana kamu dan dia menjadikan aku lebih daripada aku,
Teguh daripada karang dan tersenyum bak suria,
Aku adalah, masih dan tetap aku....
Tetapi lebih bermakna dengan kehadiran kamu dan dia...